Tanggal 6hb Jun 2008, aku dan suami tercinta melangkahkan kaki ke kota bandung. Perasaanku bercampur baur. Sedih meninggalkan tanah air dan meninggalkan anak lelaki kesayanganku di bawah jagaan keluarga mertuaku. Dalam masa yang sama aku merasa gembira kerana akan menghabiskan masa dan bercuti bersama suami tercinta tanpa sebarang bebanan tugas, permasalahan di tempat kerja mahupun gangguan dari mana-mana pihak. Yang ada hanya suamiku dan aku..
Selepas selesai urusan di kantor imegresen, kami melangkah keluar dan aku sedikit terkejut dan sedikit bangga melihat ada seorang lelaki yang menunggu kami sambil memegang sehelai kertas yang tertera nama suamiku. Lantas dia membawa kami terus ke hotel yang telah ditempah terlebih dahulu melalui pakej percutian Air Asia.
Setibanya di hotel Arion Swiss Belhotel, kami dilayan dengan cukup mesra dan ramah. Setiap kakitangan hotel yang berselisih pasti akan menyisipkan senyuman mesra kepada kami. Aku merasa cukup gembira kerana mendapat layanan yang cukup baik dan mesra. Kadang kala bila berbicara dengan suamiku, kami setuju yang kami tidak mungkin mendapat layanan yang sebegitu mesra sekiranya kami menginap di hotel di Malaysia. Bukan maksudku menghina atau merendah-rendahkan bangsa ku sendiri, tapi kurangnya sikap merendah diri dan hormat menghormati di kalangan bangsa kita membuatkan aku berasa sedemikian.
Aku senang sekali menjelajah Kota Bandung. Udaranya yang nyaman dan tidak panas, walaupun pada waktu tengahari dan dengan kenderaan yang sesak. Tidak sekali pun aku terbau asap kenderaan yang penuh dengan karbon monoksida seperti di Kuala Lumpur.
Kami memulakan perjalanan menjelajahi Kota Bandung dengan berjalan kaki merentasi laluan keretapi untuk ke Pasar Baru. Perjalanan kami hanya mengambil masa 10 minit dari hotel yang kami diami. Pasar Baru sememangnya tempat yang cukup baik untuk membeli kain pasang, telekung dan sebagainya. Aku cukup teruja bila mendapati harga barang-barangnya memang cukup murah jika dibandingkan harga di Malaysia.
Selain Pasar Baru, kami jelajahi factory-factory outlet yang berada di Jalan Dago, Jalan Riau dan Cihampelas. Dengan menaiki Angkutan Kota (lebih dikenali sebagai angkutan) yang merupai van sapu di Malaysia, kami menjelajah di seluruh kota Bandung. Sememangnya aku dapat merasakan perbezaan jurang hidup di kalangan rakyat Indonesia. Setiap kali angkutan berhenti, samada di traffic light mahupun ketika jalan sesak, pasti ada pengemis yang berhenti di muka pintu angkutan. Mereka menyanyi, bermain gitar dan kadang-kadang siap dengan dram untuk meraih sedikit simpati bagi mendapatkan sesuap nasi seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Yang paling meruntun jiwaku apabila melihat kanak-kanak turut sama mengemis. Aku cukup sedih melihat mereka berkaki ayam, berpakaian compang-camping dan ada kanak-kanak yang mengendong adik masing-masing. Aku terbayangkan kesusahan hidup mereka mengharungi hari-hari yang mendatang. Aku pasti, kesusahan yang mereka alami pasti akan menyukarkan mereka untuk bersekolah dan sudah pasti adalah mustahil untuk mereka merubah masa depan mereka.
Namun begitu, tidak terpancar sedikit pun kerisauan di riak muka kanak-kanak tersebut. Aku melihat mereka ketawa dan bergurau senda seperti tiada sedikit pun masalah yang membelenggu hidup mereka.. Ada satu ketika, sewaktu kami meninjau pemandangan Kota Bandung selepas mandi di kolam renang hotel yang berada di tingkat atas bangunan hotel, aku boleh melihat banyaknya setinggan yang telah dibina di celah-celah tembok bangunan di Kota Bandung. Terlihat juga kanak-kanak yang bermain di atas bumbung rumah semata-mata kerana tiada tempat atau halaman rumah untuk dijadikan tempat permainan.
Melihatkan kesusahan dan kedaifan hidup mereka cukup untuk mencuit perasaanku hingga aku menginsafi diri dan bersyukur di atas kesederhanaan hidup yang ku nikmati. Kadang-kadang aku sedar dari memandang ke atas iaitu mengagumi kemewahan orang lain, adalah lebih baik aku memandang ke bawah, iaitu dengan melihat kesusahan dan kepayahan hidup fakir miskin. Tujuanku hanya satu, hanya ingin berkongsi cerita, menginsafi diri dan mengambil ikhtibar dari kesusahan dan keperihan hidup mereka. Itulah yang kupelajari di sepanjang percutianku ke Kota Bandung..
No comments:
Post a Comment